Sunday, January 26, 2014

Kursus Kepimpinan Pelajar

25.01.2014 (Sabtu)
23 Rabiul Awwal 1435H




Assalamualaikum wbt,

Kursus Kepimpinan Pelajar ini diadakan untuk para pemimpin SK Londah yang terdiri dari Pengawas Sekolah, Pengawas Pusat Sumber, dan Ketua/Penolong Darjah.

Kursus ini dibahagikan kepada dua slot penting iaitu slot motivasi kepimpinan dan slot paktikaliti. Semoga murid lebih bersedia dalam menghadapi tugas yang diamanahkan oleh guru dan menjadi murid contoh kepada murid yang lain.

Perjumpaan 3 Penjuru UPSR

23.01.2014 (Khamis)
21 Rabiul Awwal 1435H




Assalamualaikum wbt,

Perjumpaan 3 penjuru UPSR ini terdiri dari gabungan guru, ibu bapa, dan murid tahun 6 yang akan mengambil peperiksaan UPSR tahun ini. Perjumpaan ini telah membincangkan tentang aktiviti yang akan dirancangkan untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan UPSR. 

Perjumpaan ini juga telah mencapai kata sepakat dengan setiap murid akan dibiayai oleh ibu bapa sebanyak RM30 setiap bulan selama 8 bulan untuk menampung segala aktiviti yang akan dilaksanakan kelak. 

Semoga apa yang dirancangkan akan diberkati olehNya dan dipermudahkan dalam pelaksanaannya nanti.

Murid SK Londah mampu menggapai 5A 2014!

Saturday, November 16, 2013

Hari Keputusan UPSR

14.11.2013 (Khamis)
10 Muharram 1435H


Lebih kurang jam 2.00 petang, keputusan UPSR diedarkan kepada murid SK Londah. Ada juga ibu bapa yang turut serta menanti keputusan di umumkan.

Alhamdulillah tahun ini SK Londah berjaya melahirkan murid 5A kali ini seramai 3 orang berbanding tahun lalu hanya seorang.

Tahniah kepada murid yang berjaya. Kepada yang masih suam-suam, usaha lebih lagi akan datang kerana perjalanan adik-adik masih lagi jauh.

Murid 5A 2013:
1. Adik Muhammad Amir Al-Faruq bin Mazlan.
2. Adik Muhammad Noor Adib bin Noor Zaide.
3. Adik Muhammad Haizal Hanafi bin Abu Bakar.

Wednesday, November 13, 2013

Hari Anugerah Kualiti

13.11.2013 (Rabu)
9 Muharram 1435H


Ada dua sebenarnya majlis anugerah kualiti yang berlangsung pada hari ini. Sebelah pagi adalah majlis anugerah kualiti untuk murid pra sekolah manakala di sebelah petang berlangsung majlis anugerah kualiti bagi murid tahun 1 hingga tahun 6.


Tahniah kepada mereka yang berjaya memperoleh nama dan hadiah dalam majlis hari ini. Bagi yang tidak berjaya, masih ada masa untuk memperbaiki ilmu yang ada. Usaha lagi tahun hadapan.

Tokoh Akademik 2013 : Adik Muhammad Amir Al-Faruq bin Mazlan.

Tokoh Sahsiah 2013 : Adik Nur Hidayah binti Ramli.

Tokoh Kokurikulum 2013 : Adik Muhammad Haizal Hanafi bin Abu Bakar.

Tokoh Murid 2013 : Adik Muhammad Haizal Hanafi bin Abu Bakar.

Jamuan Keluarga

11.11.2013 (Isnin)
7 Muharram 1435H


Perlu ke masukkan ke blog ni? Entahlah.. Namun perasaan gembira apabila dapat makan besar begini jarang dapat dilepaskan. Apatah lagi suasana berkumpul beramai-ramai bukan dapat diadakan selalu. Masing-masing ada komitmen sendiri.


Tahun ini, kelab guru berjaya mengumpulkan semua guru sekali lagi untuk keluar dari suasana kerja di sekolah dengan membawa kami makan santai di RZ Restoran, Segamat. Tiada majlis formal seperti selalu. Jadi, acara utama untuk menjamu selera menjadi topik utama untuk didahulukan. Dan seperti biasa, perjumpaan begini tidak akan pulang dengan tangan yang kosong. Terima kasih kepada kelab guru yang sentiasa prihatin dengan keperluan kami warga pendidik di SK Londah.

Hari Penutup Kokurikulum

07.11.2013 (Khamis)
3 Muharram 1435H


Hari penutup kokurikulum menandakan berakhirnya aktiviti kokurikulum untuk tahun ini. Buat pertama kalinya SK Londah menghidupkan hari penutup kokurikulum dengan aktiviti yang melibatkan semua persatuan dan kelab. Terdapat jualan gerai dan pameran yang menjadi acara utama pada hari ini. Sistem jual beli juga di ubah kepada penggunaan kupon untuk murid mendapatkan apa jua barangan yang di jual di gerai-gerai jualan. Walaupun agak sukar pada mulanya kerana murid terpaksa menukar duit mereka kepada kupon, namun sedikit demi sedikit semuanya berjalan lancar. Ini boleh dilihat melalui pembelian kupon yang berlaku pada hari ini lebih banyak berbanding pembelian kupon pada hari sebelumnya.

Situasi ini semakin menyeronokkan apabila setiap gerai jualan ada di antaranya yang 'bungkus' awal dek kerana kehabisan bekalan. Dan berita yang sangat positif apabila semua gerai jualan mendapat keuntungan daripada hasil jualan masing-masing. Keadaan ini membuatkan semua guru dan murid yang terlibat dalam aktiviti jualan ini tidak puas dengan apa yang mereka jual walaupun pada mulanya mereka agak bimbang, risau jika tidak mendapat pulangan modal yang telah dilaburkan.


Selain jualan gerai, pameran juga mendapat perhatian murid. Setiap stesen pameran telah disediakan aktiviti yang murid akan belajar dan buat. Setiap pameran dikehendaki menyediakan soalan kuiz berkaitan pameran masing-masing dan murid akan diberikan hadiah untuk setiap jawapan yang dijawab dengan betul.


Sekali rasa hendak lagi!

Itulah yang boleh digambarkan dengan aktiviti penutup kokurikulum pada hari ini. Harapan kami agar aktiviti sebegini akan diadakan lagi pada tahun hadapan.

Minggu Anti-Dadah

06.11.2013 (Rabu)
2 Muharram 1435H


Minggu Anti-Dadah diadakan untuk memberikan kesedaran awal kepada murid agar tidak terjebak dengan dadah. Kita semua maklum tentang keburukan dadah dan kita boleh lihat sendiri di luar sana tentang akibat orang yang menagih dadah. 

Di sini disenaraikan tentang kesan akibat pengambilan dadah:

1. Merosakkan sistem saraf pusat (otak & saraf tunjang).

2. Dalam keadaan mabuk atau khayal, penagih tidak dapat mengawal pergerakan dan perimbangan badannya.

3. Risiko jangkitan HIV/AIDS, Hepatatis dan Sawan apabila menggunakan alat suntikan yang dikongsi.

4. Kesan ke atas wanita mengandung iaitu seperti keguguran, kelahiran bayi songsang, lahir belum cukup bulan, kematian bayi semasa lahir /melahirkan bayi yang tidak sempurna/cacat.

5. Melemah dan merosak daya pemikiran, pemahaman, percakapan, pengiraan dan kebolehan menyelesaikan masalah.

6. Menyebabkan gangguan emosi dalam kehidupan keluarga dan masyarakat.

7. Peningkatan kes-kes sosial dan jenayah seperti budaya samseng, kecurian, rompakan, rogol, pembunuhan dan sebagainya. Ini adalah kerana penagih sebenarnya telah mengalami kerosakan otak dan mampu atau sanggup melakukan apa sahaja demi ketagihan mereka kepada dadah.

8. Membawa maut kepada :

a. Diri sendiri
Contohnya : Akibatnya daripada pengambilan dos yang berlebihan.

b. Ahli keluarga
Contohnya : Ibu, kerana tindakan ganas/luar kawalan penagih kerana memerlukan wang untuk membeli dadah.

c. Orang awam
Contohnya : Kemalangan akibat memandu di bawah pengaruh dadah.

Sehabis minggu anti-dadah ini, murid dilihat bersemangat menyanyikan lagu Dadah Durjana. Jom sama-sama kita nyanyikan http://www.youtube.com/watch?v=KxklbCtmauQ